Monday, February 7, 2011

PAHLAWAN BUNTUNG ( S.Othman Kelantan)

Assalamualaikum ,

Hari ini cikgu hanya sempat muatkan sinopsis cerpen Pahlawan Buntung daripada teks Dirgahayu Bahasaku. Insyaallah pada hari lain cikgu akan sambung dengan karya lain pula.

Cikgu harap usaha kecil ini dapat memberi manfaat pada anak-anak didik cikgu di SMK Tanjung Pauh dan pelajar-pelajar lain yang membaca blog ini.


KAJIAN ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU ( TEKS TINGKATAN 5 )

SINOPSIS CERPEN

PAHLAWAN BUNTUNG ( S.Othman Kelantan)

Khalid bertemu dengan Pak Hussain,bekas pejuang negara ketika sambutan hari kemerdekaan negara di sebuah kota. Dalam pertemuan tersebut, masing-masing melahirkan rasa gembira setelah terpisah selama 30 tahun. Khalid sangat menghormati Pak Hussain dan menggelarkannya sebagai “pahlawan” kerana Pak Hussain banyak berjasa kepada tanah air,terutamanya kepada penduduk kampungnya semasa pendudukan askar Jepun di Kelantan.Dia sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan penduduk Kampung Pulau Pak Amat daripada menjadi mangsa serangan Jepun.

Pertemuan tersebut juga menyebabkan Khalid teringat kembali akan peristiwa yang berlaku pada pagi 8 Disember 1941.Pada pagi itu, Pak Hussain telah mengarahkan penduduk Kampung Pulau Pak Amat termasuklah keluarga Khalid meninggalkan rumah masing-masing menuju ke pangkalan untuk mengelakkan diri daripada serangan Jepun. Mereka diarahkan berpindah ke Kampung Dal pada waktu subuh. Keadaan menjadi cemas apabila penduduk kampung yang sudah berada di dalam perahu yang sedang bergerak tersedar bahawa Pak Hussain yang mengetuai perpindahan mereka ke Kampung Dal telah tertinggal.

Mak Bidah yang merupakan isteri kepada Pak Hussain meraung apabila menyedari suaminya tidak ikut serta dalam misi perpindahan itu. Serangan Jepun terhadap Tanah Melayu di Kelantan pada masa itu menyebabkan suasana menjadi gegak-gempita dan huru-hara. Banyak kawasan dan kubu pihak Inggeris yang dikawal ketat oleh askar Punjabi di Kelantan telah ditawan oleh askar Jepun.

Dalam keadaan yang huru-hara ketika perang baru sahaja meletus,Pak Hussain telah muncul di Kampung Dal dengan cerita perangnya sehingga diberi gelaran ”pahlawan” oleh penduduk setempat. Menurut Pak Hussain,dia telah ditahan dan dipaksa oleh tentera Jepun untuk menguburkan mayat-mayat askar Punjabi dan orang mati di kampung Pulau Pak Amat. Pak Hussain berjaya melarikan diri daripada tahanan askar Jepun selepas dia membuat helah dengan meminta izin untuk membuang air besar.

Jasa dan kepahlawanan Pak Hussain bukan hanya ketika perang Jepun sahaja, bahkan selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, sekali lagi Pak Hussain berjaya mematahkan cubaan merompak oleh segerombolan perompak yang mencuba merompak rumah Pak Ngah Isa di kampung mereka. Berbekalkan senapang milik seorang askar Punjabi yang diambilnya ketika perang Jepun dahulu, Pak Hussain telah membedil perompak yang masih berada di dalam perahu. Hasilnya, kampung tersebut bebas daripada ancaman rompakan selepas itu. Pak Hussain digelar Pahlawan Buntung kerana kakinya kudung sebagai akibat terkena pecahan bom tinggalan Jepun semasa berjalan di tepi pantai setahun selepas Jepun menyerah kalah kepada askar Britis. Pada akhir cerita,Khalid mengiktiraf Pak Hussain sebagai pahlawan negara kerana keberaniannya.

2 comments: